Dalil Upah Rawatan

Hadith 1:

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bahawa beberapa orang di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam perjalanan melalui salah satu dari perkampungan Arab. Mereka berharap dapat menjadi tetamu penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu. Namun begitu ada yang bertanyakan kepada mereka; ”Adakah di antara kalian yang boleh menjampi? Kerana ketua kampung kami terkena sengatan binatang. Salah seorang daripada para sahabat itu menjawab: Ya, ada. Sahabat tersebut kemudiannya melawat ketua kampung yang sedang sakit itu dan menjampinya dengan Surah Al-Fatihah. Ternyata ketua kampung itu sembuh, lalu diberikanlah kepadanya beberapa ekor kambing. Sahabat itu menolak untuk menerimanya dan berkata: Aku akan bertanyakan dahulu kepada kepada Nabi s.a.w. Dia pun pulang menemui Nabi s.a.w. lalu menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasullullah. Dia berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan Surah Al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu lalu Rasulullah s.a.w. tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau bahwa Al-Fatihah itu merupakan jampi? Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian dari mereka itu dan asingkan sedikit untuk bahagianku. (Hadit riwayat Muslim)

Hadith 2:

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; bahawa pada suatu ketika beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. telah datang ke sebuah perkampungan Arab, akan tetapi penduduk kampung itu tidak menerima kedatangan para sahabat tersebut, tiba-tiba ketua kampung itu disengat ular, (lalu wakil penduduk kampung berjumpa dengan para sahabat tersebut) dan bertanya: Adakah kamu mempunyai ubat penawar sengatan ular atau adakah di antara kalian ahli perubatan?, para sahabat menjawab: Kalian telah tidak menerima kedatangan kami di kampung ini, kami tidak akan melakukannya sehingga kalian membayar upah untuk kami. Akhirnya mereka berjanji akan memberikan beberapa ekor kambing sebagai upahnya. Kemudian salah seorang sahabat membaca Surah al-Fatihah, kemudian mengeluarkan sedikit ludah (diletakkan di bahagian sakit), dengan serta merta ketua kampung sembuh, kemudian mereka membawa kambing-kambing kepada para sahabat. Para sahabat tersebut berkata: Jangan kita ambil upah ini, sehingga kita bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w, kemudian mereka menanyakannya, lalu Rasulullah tersenyum dan berkata: Ketahuilah bahawa Surah al-Fatihah itu adalah ubat penawar, ambillah upah itu dan bagi aku sedikit (Hadis riwayat Imam Bukhari)


|Pendapat Ulamak berkenaan Upah Bayaran| 

 1.Berkata Ibn Qudamah dalam kitab Al-Mughni: Adapun mengambil upah rukyah (menjampi) maka Imam Ahmad memilih qaul yang mengatakan HARUS dan beliau sendiri mengatakan TIDAK MENGAPA

2. Kata Ibn Hazam dalam kitab Al-Mahalli: Upah rukyah (menjampi) adalah HARUS 

 3. Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti dalam kitab Feqh As-Sirah: Malik, Syafie, Ahmad, Ishak dan Abu Thaur berpendapat HARUS MENGAMBIL UPAH RAWATAN.